EKONOMI > BERITA

SEKTOR DOMESTIK KEKAL BERDAYA TAHAN DALAM KETIDAKTENTUAN HARGA MINYAK - MAYBANK IB

17/03/2026 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Sektor domestik Malaysia dijangka kekal berdaya tahan walaupun pasaran tidak menentu dalam masa terdekat, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Bank pelaburan itu memaklumkan kenaikan harga minyak dan permintaan terhadap aset selamat yang didorong oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat telah menyebabkan pasaran global mengambil pendirian defensif.

“Pelabur boleh meneroka peluang dagangan yang berkaitan dengan kekuatan komoditi. 

“Pada masa yang sama, mengambil pendirian defensif melalui pelaburan berasaskan hasil dividen seperti bank dan amanah pelaburan hartanah (REIT) adalah digalakkan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Maybank IB, harga minyak yang tinggi boleh menyebabkan kos pembinaan meningkat melalui kenaikan harga diesel dan bahan binaan.

Katanya simen dijangka menerima tekanan sederhana daripada kos arang batu termal yang lebih tinggi, harga keluli berkemungkinan kekal stabil dalam situasi permintaan global lemah dan harga bitumen yang digunakan dalam pembinaan jalan raya dijangka terjejas disebabkan kaitannya dengan harga minyak.

“Secara keseluruhan, sektor ini berdepan risiko kos yang sederhana dan impak yang terhad terhadap unjuran pendapatan dalam keadaan semasa,” katanya.

Sementara itu, konflik yang berterusan telah mengatasi penurunan bermusim dalam data simpanan stok Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang dikeluarkan minggu lepas manakala harga minyak mentah kekal tidak menentu, mencecah US$119 setong buat seketika, mewujudkan minat baharu dalam sektor itu.

“Kami percaya harga minyak mentah yang tinggi secara berterusan dapat memacu pelaksanaan biodiesel B50 untuk mengurangkan kebergantungan import dan menjimatkan pertukaran asing, menyokong permintaan dan harga minyak sawit mentah.

“Kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap syarikat perladangan,” katanya.

Menurut Maybank IB, peluang hasil dividen kekal menarik dalam persekitaran semasa.

Pada musim pelaporan keputusan kewangan suku keempat bagi tahun kewangan 2025 baru-baru ini, katanya terdapat beberapa syarikat telah menaikkan dividen, dengan sebahagiannya mengumumkan pembayaran yang lebih tinggi.

“Bank merupakan saham utama yang menjadi tumpuan untuk dividen yang lebih tinggi, selain pemain telekomunikasi jalur lebar tetap. REIT mengekalkan pembayaran dividen yang konsisten. Sektor ini secara keseluruhannya menawarkan hasil dividen sebanyak lima hingga enam peratus.

“Pada Januari dan Februari 2026, kaunter perbankan mencatatkan kenaikan yang kukuh dan mengekalkan aliran meningkat yang utuh, membantu KLCI mencapai prestasi yang baik dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan