EKONOMI > BERITA

FILEM RAYA SJPP PAPAR PERJALANAN PKS, CABARAN DILALUI

19/03/2026 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Realiti yang dialami perusahaan kecil dan sederhana (PKS) --daripada peniagaan yang sederhana serta harapan bersama -- sehingga tekanan yang timbul apabila perniagaan semakin berkembang, menjadi fokus utama filem Raya Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP).

SJPP dalam kenyataan berkata filem Raya sulung SJPP yang berdurasi 3 minit 18 saat itu mengisahkan tiga sahabat yang menjalankan perniagaan secara bermusim sepanjang Ramadan, dan membangunkannya sedikit demi sedikit sehingga perniagaan berkembang melalui idea dan keazaman bersama.

Bagaimanapun, menurutnya apabila perniagaan itu semakin besar, mereka tidak lagi sehaluan, dan akhirnya berpisah untuk mengejar impian masing-masing

“Tidak lama kemudian, mereka sedar bahawa kekuatan perniagaan mereka bukan dibina atas usaha individu semata-mata, sebaliknya menerusi visi bersama dan kekuatan yang saling melengkapi.

“Menyedari hal ini, ketiga-tiga usahawan ini kembali bersatu dan membina semula usaha sama mereka, dan akhirnya mengakui bahawa kerjasama membuka peluang yang lebih besar,” kata SJPP.

Pemangku Pegawai Utama SJPP Juanita Rusmini Abdul Jalil berkata kisah ini mencerminkan perjalanan sebenar bagi sebahagian besar usahawan Malaysia.

“Keusahawanan bukanlah satu perjalanan yang mudah. Ramai pemilik perniagaan berdepan cabaran dan situasi tidak menentu sepanjang perjalanan itu. Apa yang penting adalah ketabahan dan kesanggupan untuk terus melangkah ke hadapan bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata mesej filem itu mencerminkan realiti yang dihadapi oleh PKS, yang kebanyakannya bermula secara kecil-kecilan namun berpotensi untuk berkembang apabila disokong dengan ekosistem yang sesuai.

“Seperti yang digambarkan dalam filem ini, kejayaan sering hadir daripada gabungan antara ketabahan, kerjasama dan sistem sokongan yang betul,” katanya.

SJPP berkata filem itu mencerminkan perjalanan berterusan SJPP, bukan sahaja dari segi menguruskan skim jaminan kerajaan, malah dalam membina hubungan yang lebih erat dan bermakna dengan usahawan.

“Mekanisme jaminan kerajaan membantu merapatkan jurang antara aspirasi keusahawanan dan akses kepada modal, memastikan PKS yang berpotensi tidak ketinggalan akibat kekangan dalam struktur pembiayaan,” katanya.

Video berkenaan boleh ditonton di saluran YouTube rasmi SJPP.

SJPP adalah syarikat yang diperbadankan pada 2009 dan diuruskan oleh Prokhas Sdn Bhd, dengan kedua-dua entiti ini dimiliki oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

SJPP menguruskan skim jaminan oleh kerajaan untuk menyokong PKS, terutama bagi yang tidak mempunyai cagaran atau cagaran yang tidak mencukupi untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan yang terlibat.

-- BERNAMA  

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan