KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung OCR Group Bhd, OCR Avenue Sdn Bhd (OASB) memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Magna Ecocity Sdn Bhd dan Twinicon (M) Sdn Bhd.
Perjanjian itu adalah bagi penjualan sebidang tanah pembangunan seluas 1.85 hektar di Shah Alam, Selangor pada harga RM45 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat hartanah itu berkata OASB bersetuju untuk menjual tanah itu berdasarkan ‘seadanya’, bebas daripada semua bebanan mengikut terma dan syarat seperti yang dinyatakan dalam SPA.
“MESB sebagai pemilik berdaftar, telah bersetuju untuk OASB menjual tanah itu kepada Twinicon mengikut terma yang ditetapkan oleh SPA,” katanya.
Sementara itu, tanah tersebut yang merupakan sebahagian daripada sebidang tanah komersial pegangan pajak seluas 17.5 hektar yang lebih besar di Seksyen 15, Shah Alam akan dibahagikan sebelum penjualan selesai.
Menurut OCR, pertimbangan RM45 juta itu adalah berdasarkan RM225.56 kaki persegi berasaskan ‘persetujuan bersama pembeli dan penjual’ serta sejajar dengan nilai pasaran indikatif dan penjualan itu dijangka menjana keuntungan bersih kira-kira RM4.03 juta.
Makluman itu juga menyatakan bahawa rasional bagi penjualan itu adalah bagi merealisasikan sebahagian daripada keuntungan melalui penjualan tanah.
Selain itu, ia juga bertujuan membolehkan kumpulan itu mengurangkan sebahagian daripada pinjaman banknya, dan membolehkan syarikat tersebut mempunyai sedikit rizab tunai untuk membiayai pembangunan kumpulan itu.
Hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman bank, membiayai modal kerja dan menyokong pembangunan yang sedang berjalan.
Kumpulan itu berkata transaksi itu dijangka tidak menjejaskan operasi perniagaan atau modal saham sedia ada, tetapi akan memberi kesan positif kepada pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, dan tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka, proses itu dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial