EKONOMI > BERITA

PERTUMBUHAN PENDUDUK DIJANGKA PACU URUS NIAGA PERUMAHAN SEBANYAK 15 PERATUS

25/03/2026 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Urus niaga hartanah kediaman Malaysia diunjurkan meningkat sebanyak 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong kebanyakannya oleh pertumbuhan penduduk, menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI Kashif Ansari.

Beliau berkata pengembangan penduduk akan membawa kepada pembentukan kira-kira 582,000 isi rumah baharu dalam tempoh tersebut, menyediakan pemacu asas yang kukuh untuk permintaan perumahan di seluruh negara.

“Pertumbuhan penduduk sahaja boleh membawa kepada peningkatan 15 peratus dalam jumlah rumah yang dibeli dan itu tidak termasuk permintaan daripada pembeli yang menaik taraf, pelabur dan pembeli asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penduduk Malaysia dijangka meningkat sebanyak 2.2 juta orang daripada 34.3 juta ketika ini kepada 36.5 juta menjelang 2030.

Ansari berkata berdasarkan purata saiz isi rumah sebanyak 3.8 orang, populasi tambahan akan diterjemahkan kepada lebih daripada 116,000 isi rumah baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pembentukan isi rumah yang konsisten ini akan terus menambah pembeli dan penyewa ke dalam pasaran, menyokong aktiviti urus niaga di seluruh negara, katanya.

“Selangor dijangka kekal sebagai penyumbang terbesar kepada permintaan perumahan dengan populasinya diunjurkan meningkat sebanyak 382,000 menjelang 2030, memerlukan lebih banyak pembangunan kediaman berorientasikan transit, mampu milik dan pasaran pertengahan,” katanya.

Sabah dijangka mencatatkan peningkatan kedua terbesar dengan tambahan 283,000 penduduk, diikuti oleh Johor pada 279,000 untuk mendapat manfaat daripada aliran migrasi yang lebih kukuh yang dikaitkan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Rapid Transit System Link.

Kelantan dan Terengganu diunjur mencatatkan pertumbuhan populasi lebih daripada 12 peratus, menonjolkan peningkatan keperluan perumahan dalam pasaran yang menghadapi jurang bekalan sebelum ini.

Ansari berkata kadar rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar dijangka meningkat kepada 79.3 peratus menjelang 2030, memacu keperluan berterusan untuk perumahan, infrastruktur dan perkhidmatan sokongan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan