KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih Binastra Corporation Bhd meningkat kepada RM133.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2026 (TK2026) daripada RM90.26 juta pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, perolehan bagi TK2026 juga meningkat kepada RM1.50 bilion berbanding RM946.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkhidmatan kejuruteraaan itu berkata kenaikan keuntungan dan perolehan pada suku keempat TK2025 terutamanya disebabkan oleh segmen pembinaannya yang dipacu terutamanya oeh anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd (BBSB).
Bagi suku keempat TK2026, Binastra mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM42.4 juta berbanding RM25.1 juta pada suku yang sama sebelumnya, manakala perolehannya melonjak kepada RM477.2 juta daripada RM270.2 juta yang direkodkan pada suku keempat TK2025.
“Perolehan yang lebih tinggi yang dilaporkan dalam BBSB sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan jumlah projek yang sedang dijalankan sepanjang suku tersebut.
“Di samping itu, prestasi segmen ini diperkukuhkan lagi oleh sumbangan daripada anak syarikatnya, LF Lansen yang baharu diambil alih dan dimiliki sebanyak 51 peratus.
“Segmen ini dijangka kekal sebagai penyumbang utama kepada keuntungan dan perolehan kumpulan, serta seterusnya mengukuhkan prestasi kumpulan pada masa akan datang,” katanya dalam makluman tersebut.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia akan kekal fokus untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dengan melaksanakan nilai perolehan kontrak dalam tangan sedia ada dengan cekap sambil memperoleh kontrak bernilai tinggi baharu.
“Kumpulan ini sedang mengembangkan kehadirannya secara strategik ke negeri lain di Malaysia berikutan kemasukannya ke Sabah dan Johor baru-baru ini, dan sedang meneroka peluang selanjutnya dalam pembangunan infrastruktur dan tenaga boleh baharu.
“Komitmen kumpulan kepada kepimpinan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kekal teguh serta akan terus meningkatkan amalan ESG agar sejajar dengan piawaian global yang sentiasa berubah,” katanya.
Menurut Binastra, sektor swasta kekal kukuh, dengan peningkatan minat dalam pembangunan perindustrian, kediaman dan komersial, terutamanya di kawasan pertumbuhan tinggi seperti Lembah Klang Raya, Johor, dan Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, kumpulan itu telah mengumumkan dividen interim satu peringkat akhir sebanyak 3.5 sen sesaham untuk TK2026, yang akan dibayar pada 24 April 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial