KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Peralihan Malaysia ke arah kenderaan elektrik (EV) mungkin akan dipercepatkan disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah terutamanya dalam kalangan pembeli segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) premium, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata ia menjangkakan kadar penggunaan EV di seluruh negara akan meningkat pada 2026, disokong oleh pelancaran Proton e.MAS 5.
“Pertumbuhan tersebut turut disokong oleh kesinambungan insentif cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD),” katanya.
Sementara itu, CIMB Securities berkata pelarasan sementara terhadap kuota individu bulanan BUDI95 akan memberi impak terhad kepada segmen nasional kerana kebanyakan model kereta nasional dilengkapi dengan enjin yang lebih kecil dan mempunyai penggunaan bahan api lebih rendah setiap 100 kilometer (km).
“Dengan purata perbatuan tahunan sekitar 28,000 km untuk kereta persendirian (mengikut anggaran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) dan mengikuti lima model terlaris Malaysia pada 2025, iaitu Perodua Bezza, Axia, Myvi, Alza, dan Proton Saga, kami menganggarkan penggunaan bahan api tahunan antara 1,100 liter dan 1,500 liter.
“Walaupun mengambil kira penggunaan sebenar yang lebih tinggi, ini menunjukkan terdapat ruang simpanan yang mencukupi susulan keputusan kerajaan untuk melaraskan kuota BUDI95,” kata CIMB Securities.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khas semalam mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 April, had bulanan individu untuk pembelian BUDI95 akan diselaraskan buat sementara waktu kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter sebulan sebelum ini, disebabkan oleh konflik yang berterusan di Asia Barat.
Majoriti rakyat tidak terkesan oleh pengurangan kuota berkenaan kerana pengguna, secara purata, menggunakan kira-kira 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial