Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Tenaga solar kini menjadi alternatif penting untuk penjanaan elektrik bagi menggantikan penggunaan minyak, gas dan arang batu yang terhad susulan konflik di Asia Barat pada masa ini.
Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan kerajaan Citizens International Imran Muhammad Rasid berkata tenaga solar akan mengurangkan kebergantungan penjanaan elektrik kepada bahan api fosil dan arang batu, dan pada masa sama dapat menjimatkan penggunaan sumber itu.
“Malaysia perlu mula memikirkan penggunaan tenaga yang lebih lestari seperti solar dan tenaga boleh baharu lain secara lebih serius... lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa yang semakin mencabar.
“Kita perlu menilai semula pilihan yang ada untuk menjana elektrik di negara ini. Arang batu yang digunakan juga diimport, dan jika kita terus bergantung kepadanya, kos import akan meningkat. Ini memberi tekanan kepada harga elektrik,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.
Beliau memberikan contoh mengenai pengeluaran tenaga solar di Cuba yang meningkat susulan sekatan kemasukan minyak ke negara itu berikutan konflik geopolitik yang berlaku pada masa ini.
Dalam pada itu, Imran turut menyambut baik langkah kerajaan untuk melaksanakan penyelarasan sementara kuota subsidi bulanan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan menyifatkannya sebagai usaha strategik untuk menguruskan tekanan subsidi berikutan lonjakan harga minyak global akibat konflik Asia Barat yang berterusan.
Beliau bagaimanapun berkata, bagi penyelesaian jangka masa panjang, kerajaan disarankan melaksanakan penstrukturan semula subsidi minyak supaya lebih menyasarkan golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kita perlu faham penggunaan minyak dalam kalangan rakyat adalah berbeza mengikut tahap pendapatan. Golongan kelas menengah dan atasan lazimnya menggunakan kenderaan lebih besar, yang secara umumnya menggunakan lebih banyak minyak.
“Sebaliknya, golongan berpendapatan rendah tidak semestinya menggunakan jumlah minyak yang tinggi. Oleh itu, mereka perlu diberi perlindungan yang lebih bersasar terutama dalam situasi pada masa ini,” katanya.
Imran turut menyarankan kerajaan untuk melaksanakan penilaian secara menyeluruh bagi mengenal pasti sektor dan industri paling terjejas memandangkan impak krisis tidak berlaku secara sama rata walaupun semua sektor turut terkesan.
Menurutnya sebahagian sektor penting perlu diberikan perhatian dan bantuan sewajarnya oleh kerajaan.
Beliau berkata dalam jangka panjang, kerajaan perlu menilai semula kebergantungan negara terhadap import makanan dan memperkukuh keupayaan pengeluaran di peringkat domestik.
“Walaupun import juga penting, namun pada masa sama kita perlu mempunyai jaringan keselamatan untuk memastikan sektor makanan negara tidak terlalu bergantung kepada import luar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial