EKONOMI > BERITA

PERBADANAN LABUAN PELAWA CADANGAN PELABURAN BAGI LAPAN ASET UTAMA

28/03/2026 03:34 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 28 Mac (Bernama) -- Perbadanan Labuan (LC) mengemukakan permohonan cadangan (RFP) kepada pelabur tempatan dan asing bagi pemajakan dan pembangunan lapan aset miliknya termasuk tapak bekas Hotel Labuan yang dirobohkan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LC Rithuan Ismail berkata borang tawaran pemajakan itu boleh diperoleh daripada portal pihak berkuasa tempatan itu yang dibuka sejak 19 Mac hingga 19 Mei 2026.

“Pemajakan lapan aset ini adalah untuk tujuan komersial, termasuk pembangunan komersial bercampur dan berkaitan pelancongan.

“Kami mempelawa pelabur tempatan dan asing untuk membentangkan model perniagaan dan cadangan pelaburan mereka untuk aset strategik ini.

“Kami mahu mentransformasikan Labuan kepada ekonomi yang rancak serta menyokong pelbagai aktiviti ekonomi dengan menggalakkan keselamatan ekonomi dan menyediakan akses kepada pekerjaan yang menawarkan gaji mencukupi dan peluang ekonomi meluas, termasuk lebih banyak penglibatan di pasaran buruh,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata aset yang ditawarkan untuk pemajakan merangkumi Pulau Papan, tapak bekas Hotel Labuan yang bersesuaian untuk hotel lima bintang atau pusat konvensyen antarabangsa, bangunan Kompleks Hab Halal Labuan, tiga lot di pasar lama dan Pulau Rusukan Besar.

Selain itu, hab industri dan logistik di Jalan Tuanku Shariff Kedah, dua lot di Jalan Dewan bagi pembangunan komersial, pejabat atau projek bercampur, serta tanah komersial utama di Jalan OKK Abdullah.

Rithuan berkata inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan LC untuk memanfaatkan nilai aset strategik dan pada masa sama menarik pelaburan berkualiti bagi memacu pertumbuhan ekonomi Labuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan