EKONOMI > BERITA

BNM PERKUKUH PENGANTARAAN BERASASKAN NILAI, PACU KEMAJUAN KEWANGAN ISLAM TAHUN INI

31/03/2026 10:55 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) berhasrat memperkukuh keupayaan strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang merangkumi agenda kelestarian dan iklim dalam sistem kewangan Islam pada tahun ini.

BNM turut menekankan usaha memupuk persekitaran yang menggalakkan inovasi berimpak tinggi serta berperanan sebagai pemangkin kepada potensi ekonomi melalui pembangunan ekonomi halal dan peluang global.

“Berpandukan kepimpinan dan kerjasama strategik, BNM terus komited memajukan ekosistem kewangan Islam Malaysia bagi memastikan evolusi yang progresif serta memberi manfaat jangka panjang kepada semua,” menurut bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut BNM, tumpuan usaha pada 2025 berteraskan tiga teras strategik utama, iaitu memajukan inovasi berasaskan nilai, memperkukuh ekosistem kewangan Islam serta mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang berkenaan.

Di bawah Teras 1, BNM menjelaskan bahawa kewangan Islam didasari oleh objektif (maqasid) Syariah yang berlandaskan nilai-nilai seperti keadilan, pengagihan kekayaan yang saksama dan tanggungjawab bersama.

Justeru, VBI menjadi pendekatan utama dalam mempraktikkan nilai-nilai tersebut.

“Bagi institusi kewangan Islam, pendekatan ini bermaksud menjalankan operasi yang bukan sahaja menjana keuntungan, malah mewujudkan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat.

“Pada 2024, institusi kewangan Islam (IKI) telah menyalurkan RM148.6 bilion bagi aktiviti kewangan yang sejajar dengan VBI, termasuk pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembiayaan hijau serta kewangan sosial,” menurut BNM.

Dalam usaha memperkukuh impak tersebut, BNM telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memupuk inovasi bermakna selaras dengan keutamaan nasional.

Antara inisiatif utama ialah program penghijauan perniagaan halal yang memperkasa PKS halal untuk menerapkan amalan kelestarian melalui geran RM15 juta; dana perkongsian risiko i-CITA yang menggalakkan penggunaan instrumen perkongsian risiko oleh bank Islam dengan pendanaan RM100 juta; serta perlindungan iTEKAD yang bertujuan memperkukuh daya tahan kewangan usahawan mikro melalui geran RM5 juta.

Di bawah Teras 2, BNM mengamalkan pendekatan seluruh ekosistem bagi menyokong pertumbuhan kewangan Islam yang progresif dan inklusif.

Pendekatan ini merangkumi penyediaan persekitaran pengawalseliaan yang kondusif, pendalaman pasaran kewangan Islam serta penegasan kejelasan Syariah dalam amalan kewangan Islam.

BNM juga meneruskan usaha memperkukuh ekosistem Syariah masa hadapan melalui penyelidikan, pembangunan tenaga mahir serta peningkatan kefahaman masyarakat terhadap kewangan Islam.

Sementara itu, di bawah Teras 3, bank pusat terus memperkukuh kepimpinan Malaysia sebagai peneraju global berwawasan dalam kewangan Islam.

“Usaha ini disokong oleh ekosistem yang kukuh dan kemajuan pasaran yang mampan. Keutamaan BNM pada 2025 termasuk memperkukuh jalinan perniagaan, menggalakkan pengiktirafan bersama dalam Syariah, memacu inovasi serta membina keupayaan global.

“Melalui inisiatif ini, Malaysia menyasarkan pembinaan ekosistem kewangan Islam global yang lebih saling terhubung dan progresif,” menurutnya.

BNM turut memaklumkan bahawa sepanjang 2025, kewangan Islam terus mengukuhkan peranannya dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia, dengan pembiayaan Islam meningkat kepada 48 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan, manakala penyertaan takaful mencecah 24.5 peratus.

“Pertumbuhan ini mencerminkan keupayaan kewangan Islam untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah serta PKS yang sentiasa berubah,” menurutnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan