EKONOMI > BERITA

SURUHANJAYA TENAGA AKAN MEMASTIKAN BEKALAN BAHAN API BERTERUSAN UNTUK PENJANAAN ELEKTRIK

02/04/2026 11:27 AM

PUTRAJAYA, 2 April (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) mengambil langkah untuk memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan, khususnya gas dan arang batu bagi penjanaan elektrik, sambil memantau perkembangan di Asia Barat susulan konflik di rantau itu kini memasuki bulan kedua.

“Sebagai contoh, kami telah mendapatkan stok arang batu yang mencukupi bagi memastikan bekalan yang stabil. Kami juga memastikan kesemua loji jana kuasa berada dalam keadaan bersedia dari segi operasi dan boleh digunakan apabila diperlukan sepanjang tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Siti Safinah Salleh, hari ini.

Bagaimanapun, langkah-langkah itu tertumpu terutamanya pada aspek bekalan, katanya kepada pemberita pada Kajian Semula Kawal Selia Tahunan ST 2026 di sini, Rabu.

Selain itu, ST juga bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan agensi-agensi lain untuk meneroka langkah-langkah lain yang boleh diambil secara kolektif, katanya.

Walaupun ST dan unit-unit kerajaan telah menggembleng sepenuhnya tenaga dan sumber, perlu diakui bahawa Malaysia tidak sepenuhnya terlepas daripada kesan yang disebabkan oleh konflik di Asia Barat.

Dalam hal ini, beliau berkata implikasi kos akan mula dirasai seawal Jun.

Pada masa ini, Malaysia mengimport 65 peratus arang batunya dari Indonesia, 20 peratus dari Australia dan selebihnya daripada pelbagai negara lain. Bagi gas pula, hanya 20 peratus diperoleh daripada luar negara, sebahagian besarnya dari Australia, manakala 80 peratus dibekalkan daripada sumber dalam negeri.

Berhubung Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Siti Safinah berkata, meskipun konflik masih berterusan, pelarasan AFA dijangka terus menunjukkan rebat sehingga Jun atau Julai dan seterusnya.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan situasi semasa, kos untuk tenaga dijangka meningkat.

“Harga gas asli dan arang batu berkait dengan indeks pasaran tenaga, yang ketika ini berada dalam tekanan susulan gangguan bekalan global akibat perkembangan semasa dan krisis berterusan di Asia Barat. Bagaimanapun, pelarasan kadar tarif elektrik dan gas akan dibuat secara berkala berdasarkan kos untuk membekalkan bahan api berkenaan,” katanya.

Apabila ditanya sama ada ST sedang mempertimbangkan pelarasan yang mencerminkan situasi semasa, Siti Safinah berkata pada masa ini unjuran AFA masih di bawah had semasa iaitu 10 peratus daripada kos penjanaan pada bulan semasa.

Beliau berkata jika ia melebihi had itu, ST akan merujuk semula kepada kerajaan untuk membuat keputusan sama ada kos berkenaan akan dipindahkan sebahagiannya kepada pengguna.

Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk menguruskan permintaan, dengan menyatakan keselamatan tenaga bukan sahaja bergantung kepada bekalan tetapi juga pada kesedaran pengguna dan penggunaan yang bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, kita perlu menyebarkan mesej bahawa pada akhirnya, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing,” tambah beliau.

Semalam, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan kadar AFA bagi April akan menyebabkan pengguna menerima rebat yang sedikit lebih rendah iaitu 0.47 sen per kilowatt jam (kWj). Firma utiliti itu juga memaklumkan unjuran kadar AFA bagi tempoh tiga bulan iaitu Mei (-39 sen kWj), Jun (-91 sen kWj), dan Julai (+8.0 sen kWj).

AFA merupakan mekanisme yang diselaraskan berdasarkan kos pasaran bahan api (gas, arang batu dan lain-lain) dan kadar pertukaran asing, menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebelum ini, yang digunakan sebagai mekanisme untuk mengira bil elektrik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan