TIGA PEMBANTU PELAJAR MADRASAH MENGAKU TIDAK BERSALAH LAKUKAN AMANG SEKSUAL

19/09/2024 02:59 PM

SEREMBAN, 19 Sept (Bernama) -- Tiga pembantu pelajar sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023.

Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Muhammad Habib Noh berdepan lima pertuduhan termasuk satu pertuduhan iaitu membuat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap dirinya iaitu kesalahan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK 2017).

Dia juga didakwa melakukan sentuhan seksual fizikal terhadap dua lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun, dengan kesemua kesalahan dilakukan di madrasah itu pada 2022 mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.

Kesalahan-kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. 

Muhammad Khunais Fathie pula berdepan enam pertuduhan amang seksual dengan melakukan sentuhan seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki yang sama berusia 10 dan 11 tahun di lokasi sama pada tahun lepas.

Ahmad Nadzful Izham juga didakwa dengan tiga pertuduhan yang sama terhadap dua kanak-kanak lelaki lain berusia 10 tahun di lokasi sama antara Jun hingga Disember tahun lepas.

Kesalahan berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017 yang turut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. 

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi, perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tertuduh boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, bapa kepada Muhammad Habib dan Muhammad Khunais Fathie serta abang Ahmad Nadzful Izham yang menjamin mereka memohon jaminan rendah dikenakan atas alasan tidak mampu membayar jaminan tinggi.

Hakim Surita kemudian membenarkan kesemua tertuduh dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan yang dikemukakan Nurul Balkis, selain penjamin perlu memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 30 Okt ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tiga suspek kes liwat yang ditahan dalam Op Global baru-baru ini didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan