CEO GISBH, ISTERI DAN ANAK BEKAS PEMIMPIN AL-ARQAM ANTARA 19 DITAHAN POLIS

19/09/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) serta isteri dan beberapa pemimpin syarikat itu antaranya anak bekas pengasas Al-Arqam menerusi Op Global, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata hasil koordinasi operasi bersama Bahagian D8 Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D14 Bukit Aman telah membuat pemeriksaan serentak di empat unit kediaman di Tower A, Berjaya Times Square 1, Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini pada 5.40 pagi.

“Hasil pemeriksaan telah menahan sebanyak 19 orang terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh perempuan berumur lingkungan 25 hingga 65 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata soal siasat awal serta proses dokumentasi masih dijalankan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor petang ini.

Sementara itu, Razarudin berkata lima individu termasuk anak Ketua Pegawai Eksekutif GISBH yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

"Permohonan reman terhadap kesemua suspek berumur 30 hingga 41 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam," katanya.

Semalam, polis menahan lima lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH dan merampas dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang syarikat itu dipercayai cuba melarikan diri di Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand.

Minggu lepas, JSJ Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Razarudin sebelum ini memaklumkan bahawa ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan