KES BUNUH PEREKA DALAMAN: POLIS SELESAI KES, TAHAN 3 LELAKI

21/09/2024 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Polis percaya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang pereka dalaman yang ditikam 20 kali di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu selepas menahan tiga lelaki awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata hasil makluman dan risikan, ketiga-tiga suspek berusia antara 50 hingga 61 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di sini pada sekitar pukul 3 pagi tadi.

“Ketiga-tiga suspek merupakan rakan serumah dan siasatan awal polis mendapati salah seorang daripada mereka dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan mangsa berusia 36 tahun itu.

“Suspek yang tidak mengenali mangsa dipercayai memecah masuk rumah mangsa untuk melakukan samun, namun telah terserempak dengannya yang kebetulan balik ke rumah ketika itu.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

M Hussin Sollehuddin berkata Majistret di Mahkamah Petaling Jaya hari ini membenarkan ketiga-tiga suspek direman enam hari hingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Isnin lepas, seorang pereka dalaman ditemukan mati di sebuah unit apartmen di Bandar Sri Damansara di Petaling Jaya dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan