POLIS PANTAU KENYATAAN, PENDEDAHAN BERKAITAN GISBH DI MEDIA SOSIAL

22/09/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau sebarang kenyataan yang dikeluarkan individu atau pihak berkaitan di media sosial berhubung GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ia berikutan terdapat beberapa pendedahan daripada individu selain bekas dan ahli kumpulan yang mempunyai kaitan dengan GISBH sejak kebelakangan ini.

Susulan itu, beliau berkata satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman diberikan peranan untuk memantau tindakan berkenaan di media sosial.

“Sebarang pendedahan dan maklumat, kita (polis) minta mereka ini tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata pihaknya masih menjalankan siasatan susulan fasa keempat Op Global yang dilaksanakan di seluruh Semenanjung Malaysia semalam dengan 155 orang ditahan dan 186 mangsa diselamatkan.

“Kita fokus kepada perkara ini dahulu sebelum ke fasa (operasi) seterusnya,” katanya.

Pada 11 Sept lepas, polis mengadakan Op Global yang menyaksikan serbuan terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dikaitkan dengan GISBH yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.

Berikutan itu, pelbagai pihak memuat naik hantaran di laman sosial berhubung pengalaman dan pandangan mereka mengenai fahaman agama termasuk ajaran sesat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan