KPDN TERENGGANU RAMPAS 153 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI

23/09/2024 12:15 PM

KUALA NERUS, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri  dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 153 paket minyak masak bersubsidi dalam pemeriksaan di sebuah premis runcit di Kampung Banggol Tok Jiring di sini semalam.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata pemeriksaan itu susulan aduan orang ramai mengenai kekurangan bekalan dan harga minyak masak di sekitar Kuala Terengganu.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati pemilik premis tidak memiliki lesen sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi menjalankan urus niaga barang kawalan berkenaan. 

"Pemeriksaan oleh empat anggota penguat kuasa KPDN pada 6 petang semalam menemukan 153 kg minyak masak dengan nilai keseluruhan RM382.50. 

"Premis itu juga dipercayai menjual minyak masak paket bersubsidi pada harga RM2.80 melebihi harga kawalan ditetapkan iaitu RM2.50," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan berlaku kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini seperti yang dilaporkan media. 

Beliau berkata selain premis jualan seperti pasar raya dan kedai runcit, orang ramai boleh mendapatkan bekalan di Program Jualan Rahmah Madani yang dilaksanakan secara berjadual di semua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga agar tidak mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan yang ingin membeli minyak masak paket bersubsidi.

"Peruncit hanya dibenarkan mengehadkan kuantiti pembelian bagi setiap individu tanpa sebarang syarat pembelian agar lebih ramai pengguna boleh menikmati kemudahan disediakan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan