LELAKI DIDAKWA BUNUH ABANG SENDIRI

01/10/2024 12:00 PM

MANJUNG, 1 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh abang kandungnya, minggu lepas.

Mohd Khairul Hadafi Mohd Taib, 40, didakwa membunuh Mohamad Khairul Ridzuan Mohd Taib, 46, di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Sitiawan dekat sini antara 2.25 pagi hingga 2.39 pagi, 25 Sept lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh bagi pemeriksaan psikiatri serta menetapkan 30 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan