BAYAR RM10 JUTA KEPADA PKR: RAYUAN ZURAIDA DIPUTUSKAN PADA 11 DIS

01/10/2024 09:58 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Dis ini untuk memutuskan rayuan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti itu.

Peguam PKR Navpreet Singh, yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama, berkata tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Syafiq Mustaza hari ini.

Pada 23 Sept lepas, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk See Mee Chun dan Datuk Azman Abdullah serta Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Zuraida dan Ranjit Singh bagi pihak PKR.

Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir telah memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Pada 2020, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti yang memulakan saman itu mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang telah ditandatanganinya.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan