SUAMI ISTERI ANTARA TIGA DITAHAN MILIKI, EDAR GANJA

02/10/2024 12:14 AM

KOTA BHARU, 1 Okt (Bernama) -- Sepasang suami isteri antara tiga individu ditahan disyaki memiliki 14.4 kilogram dadah jenis ganja dianggar bernilai RM49,200 di tepi jalan Taman Wahyu, Gual Nering, Rantau Panjang, Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby berkata hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 21 tahun dan isterinya berumur 20 tahun itu menemukan satu bungkusan plastik berisi tumbuhan kering mampat disyaki ganja seberat 882.90 gram.

Beliau berkata hasil soal siasat, polis kemudian merampas dua bungkusan plastik di dalam sebuah kereta yang ditahan di pejabat agensi penguat kuasa sempadan di Rantau Panjang kerana tidak membayar cukai.

“Pemeriksaan mendapati bungkusan terbabit berisi tumbuhan kering mampat disyaki ganja dianggar seberat 13.5 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ali berkata polis turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah rumah di Rantau Panjang bagi membantu siasatan kes itu.

Seorang daripada yang ditahan, katanya didapati positif terhadap dadah dan memiliki satu rekod berkaitan dadah manakala kesemua direman seminggu hingga esok bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan