KONSTABEL POLIS DIDAKWA MINTA, TERIMA RASUAH DARI SUSPEK JENAYAH NARKOTIK

03/10/2024 02:59 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Okt (Bernama) -- Seorang konstabel polis hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada dua lelaki yang disyaki terlibat dengan penggunaan bahan terlarang pada bulan September dan Oktober tahun lepas. 

Abdul Aziz Mustapha, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman di Mahkamah Sesyen di sini. 

Mengikut pertuduhan dia didakwa meminta RM2,000 daripada suspek pertama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan bagi kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di bilik operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, antara 1 dan 2 pagi, 23 Sept 2023.

Abdul Aziz juga didakwa menerima suapan RM1,000 daripada suspek sama pada 8 Okt 2023 di Medan Selera Kota Putera, Besut supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya dan seorang lagi suspek juga bagi kesalahan di bawah ADB 1952.

Bapa kepada dua anak itu dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Zamry menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta mengemukakan syarat tambahan untuk Abdul Aziz menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan dan melarangnya berhubung dengan saksi pendakwaan.

Peguam Muhammad Abdul Rahman Ab Razak memohon jaminan rendah atas faktor pendapatan dan kesihatan selain percaya anak guamnya itu tidak menunjukkan tanda untuk melarikan diri kerana masih bertugas.

Mohd Azhar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan yang dikemukakan Mohd Fadhly, selain menetapkan 11 Nov ini untuk sebutan semula kes. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan