TAHANAN MATI DI LOKAP IPD PEKAN 4 MEI LEPAS, DIKLASIFIKASIKAN MATI MENGEJUT

04/10/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Tahanan lelaki berusia 25 tahun yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan Pahang pada 4 Mei lepas diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Seri Azri Ahmad berkata bedah siasat  telah dilakukan pada 4 Mei lepas di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan Pahang, iaitu pada hari yang sama lelaki berkenaan ditemukan mati dalam lokap di IPD berkenaan.

“Bagaimanapun JIPS akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu juga telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada 4 Mei dan 7 Mei lepas selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (Akta 839) serta laporan berkala untuk pemantauan dan perkembangan siasatan.

Lelaki itu ditahan pada 1 Mei lepas oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pekan kerana menunggang motosikal curi selain ujian air kencing mendapati beliau positif dadah jenis morfin sebelum direman selama tiga hari bermula 1 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan