TIGA ANGGOTA POLIS MENGAKU TIDAK BERSALAH MINTA, TERIMA RASUAH RM3,000

22/10/2024 03:10 PM

MELAKA, 22 Okt (Bernama) -- Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM3,000 daripada seorang lelaki dan wanita tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Muhamad Adham Samsudin, 34, Wan Muhamad Fauzi Zulkefli, 29, dan Muhammad Najib Muhamad, 36, yang bertugas di Unit Rondaan Balai Polis Melaka Tengah didapati dengan niat bersama telah secara rasuah meminta suapan wang tunai berjumlah RM3,000 sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap seorang lelaki dan wanita kerana berdua-duaan di dalam sebuah kenderaan. 

Ketiga-tiga mereka dituduh melakukan kesalahan itu dalam bilik rehat 'Ops Lejang' Balai Polis Melaka Tengah di Jalan Banda Kaba sekitar 2.40 hingga 3.30 petang pada 7 Okt 2023.  

Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka didakwa menerima wang rasuah berkenaan di meja batu bersebelahan Pondok Polis Pelancong, Jonker Walk Melaka sekitar pukul 4 hingga 4.30 petang pada tarikh yang sama. 

Mereka didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi. 

Pegawai Pendakwa SPRM Abd Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili ketiga-tiga anggota polis itu memohon jaminan dengan nilai yang munasabah atau lebih rendah atas faktor anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan berpendapatan hanya antara RM2,000 hingga RM3,300. 

Hakim Elesabet Paya Wan kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan, dan menetapkan 20 Nov depan sebagai tarikh serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan