PERUNTUKAN RM675 JUTA BAKAL PERKUKUH KEUPAYAAN APMM PANTAU KESELAMATAN NEGARA

24/10/2024 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM675 juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Belanjawan 2025 bakal memperkukuhkan lagi keupayaan agensi itu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

Ketua Pengarahnya Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata peruntukan itu akan diguna bagi menyelenggara kapal sedia ada dan perolehan baharu dalam usaha memperkukuh kesiagaan agensi untuk menjaga Zon APMM.

Beliau berkata pecahan peruntukan yang diterima meliputi RM150 juta bagi penyelenggaraan enam kapal sedia ada di bawah Program Pelanjutan Hayat Kapal (SLEP) Fasa dua bagi memastikan jangka hayat operasi kapal terbabit dapat dioptimum.

Mohd Rosli berkata sejumlah RM350 juta diperuntuk bagi proses perolehan sebuah kapal kapal misi pelbagai guna (MPMS) bagi membolehkan APMM melaksanakan operasi di laut dengan lebih berkesan dan RM160 juta bagi perolehan dua kapal peronda generasi baharu (NGPC) yang dilengkapi teknologi terkini dalam usaha meningkatkan keupayaan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan lebih luas serta mencabar.

Beliau berkata APMM juga bakal menerima sebuah kapal peronda United States Coast Guard Cutter (USCGC) bagi meningkatkan lagi keupayaan agensi itu memantau perairan negara terutama di kawasan strategik.

“Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntuk RM15 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan kapal berkenaan sebelum ia dibawa pulang ke negara ini tahun hadapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan