KES BEKAS BANDUAN MILIKI BAHAN BERKAITAN DAESH DIPINDAH KE MAHKAMAH TINGGI KL

24/10/2024 12:15 PM

KOTA BHARU, 24 Okt (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan untuk memindahkan kes seorang bekas banduan yang didakwa atas empat pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Zulkifli Abllah membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim mengemukakan permohonan itu, yang tidak dibantah oleh tertuduh Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, 40, pada prosiding sebutan hari ini. 

Pada prosiding itu, Nik Mohd Shalahuddin tidak diwakili peguam. 

Pada 21 Julai lepas,  bekas banduan itu didakwa atas dua pertuduhan memiliki 1,020 keping gambar, 26 video, 321 artikel dalam bentuk PDF dalam sebuah telefon bimbit serta 378 keping gambar, 36 video, 244 artikel dalam bentuk PDF dalam sebuah lagi telefon bimbit, yang merupakan barang yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kota Jembal di sini pada 9.15 pagi, 10 Jun lepas dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Selain itu dia juga didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam Il, yang dikesan pada 10.15 malam di lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 10 Jun lepas. 

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut perenggan 130J(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir Nik Mohd Shalahuddin didakwa telah mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara baiah dengan Abu Hafs Al Hashimi Al-Qurashi iaitu pemimpin IS sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS di Kota Jembal, di sini, pada 10 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut perenggan 130J(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda jika disabitkan bersalah.

Sebelum ini Nik Mohd Shalahuddin pernah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bermula 2018 di bawah Seksyen 130JB(1) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan