WARGA PAKISTAN DIDENDA RM5,000 TAWAR SUAPAN KEPADA PEGAWAI POLIS

24/10/2024 05:04 PM

KOTA BHARU, 24 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki warga Pakistan didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan suapan RM200 kepada seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, empat hari lepas.

Hakim Zulkifli Abllah memerintahkan Gul Siraj, 51, dipenjara 21 hari jika gagal membayar denda. Tertuduh menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM200 kepada pegawai terbabit untuk tidak menahan seorang pekerjanya, juga warga Pakistan kerana menyalahgunakan permit kerja, ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya di Kampung Tok Bok, Jalan Kuala Krai pada 9.30 pagi, 21 Okt lepas.

Gul Siraj yang berkahwin dengan wanita tempatan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohamad yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama selain telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Ermi Yasmin Abd Momen dan Nur Dalilah Md Daud.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan