'GENG TAKIM' AKTIF PECAH RUMAH TUMPAS DI CHANGKAT JERING, TIGA DITAHAN

24/10/2024 07:25 PM

TAIPING, 24 Okt (Bernama) -- Polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah premis dan curi kenderaan selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai anggota kumpulan dikenali sebagai Geng Takim dalam Op Pintu Khas di Changkat Jering di sini, 7 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata susulan penahanan semua suspek yang berusia 21 hingga 35 tahun itu, polis berjaya menemukan beberapa barangan curi bernilai kira-kira RM60,000 di kediaman mereka.

“Semua suspek ditahan di sebuah kediaman (di Changkat Jering) sekitar 1.30 petang. Ketika serbuan polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu seperti tukul besi, tukul kuku kambing, pemotong besi dan pemutar skru.

“Hasil tangkapan itu turut menemukan kembali barang yang dicuri sejak awal tahun ini seperti komputer riba, set generator, tong gas, tayar motor, bateri kereta, telefon bimbit dan aksesori kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak polis turut merampas sebuah lori bermuatan satu tan serta sebuah skuter jenama Vario di lokasi berasingan, dan siasatan lanjut mendapati sindiket ini mula bergerak aktif sejak awal tahun lepas, dengan menumpukan kegiatan mereka di kawasan perumahan, sekolah dan kedai runcit.

“Kesemua tangkapan juga mempunyai rekod jenayah lampau, dengan suspek utama mempunyai 30 kes jenayah melibatkan kesalahan curi dan penyalahgunaan dadah,” katanya dan menambah ketiga-tiga suspek direman sejak 8 Okt lepas bagi membantu siasatan. 

Mohamad Nasir berkata kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan