AMANG SEKSUAL: GURU TUISYEN KENA PENJARA ENAM TAHUN, TIGA SEBATAN

24/10/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang guru tuisyen dipenjara enam tahun dan disebat tiga kali kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, empat tahun lepas.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Hong Meng Keat, 25, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah di akhir kes pembelaan dan memerintahkan tempoh penjara bermula hari ini.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan berada bawah pengawasan polis selama setahun, selepas selesai menjalani hukuman.

Hong didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang semasa itu berusia tujuh tahun 10 bulan di sebuah rumah di Sentul di sini, antara 7 petang hingga 9 malam, awal Ogos 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ibu bapa mangsa membuat laporan polis selepas mengetahui perbuatan tertuduh memegang kemaluan anak mereka semasa mengajar kanak-kanak itu, yang turut dilihat oleh adik lelaki mangsa.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon hukuman penjara dan sebatan kepada tertuduh kerana perbuatan itu keji, mendatangkan trauma kepada mangsa dan keluarga serta cenderung kepada pedofilia.

Peguam K.Syama Sundar bagaimanapun memohon anak guamnya dikenakan bon berkelakuan baik atas faktor usia, selain tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah dan menanggung ibu bapa serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan