BAPA EMPAT ANAK MENGAKU SALAH GUNA DOKUMEN PALSU DAPATKAN GELARAN DATUK

25/10/2024 04:04 PM

MELAKA, 25 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan surat kelulusan palsu bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri.

Mohamad Nizam Abdul Ghani, 46, didakwa telah menggunakan sebagai tulen satu surat kelulusan bagi anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) atas nama tiga individu, di mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu telah dipalsukan dengan niat untuk menipu.

Dia dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana di dalam daerah Melaka Tengah pada 11.06 malam 21 Sept lepas mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh, merayu jaminan munasabah kerana anak guamnya yang bekerja sendiri berpendapatan tidak menentu serta menanggung empat anak dan ibu bapanya.

Mahkamah menetapkan 4 Dis ini untuk menjatuhkan  hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu rakan tertuduh, Shahrizan Sahauddin, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memalsukan dokumen sama atas nama tiga individu itu di lokasi dan tarikh serupa.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hanis Aliah mencadangkan jaminan RM10,000 manakala peguam Helmi Hasan yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah memandangkan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat kargo menanggung tiga anak, isteri dan ibu bapanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan 12 Dis ini ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan