BOMBA TANGKAP ULAR SAWA KEKENYANGAN SELEPAS BAHAM TIGA EKOR KAMBING

27/10/2024 11:26 PM

KUALA KRAI, 27 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menangkap seekor ular sawa batik dianggarkan sepanjang tujuh meter dan seberat 240 kilogram (kg) selepas membaham seekor ibu dan dua anak kambing milik penduduk Kampung Ngangah di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang penternak mengenai kejadian itu pada pukul 7.15 pagi tadi memaklumkan reptilia itu berada di dalam kandang kambing di tepi rumah miliknya dan telah menelan ibu serta dua anak kambing terbabit.

"Sebaik menerima laporan, tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela Guchil dan tujuh anggota BBP Kuala Krai dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

"Pasukan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap haiwan itu yang kekenyangan kerana menelan ibu serta dua anak kambing," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Krai untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan