POLIS TAHAN DUA LELAKI, RAMPAS 145KG DADAH BERNILAI RM4.18 JUTA DALAM KONDOMINIUM

28/10/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan  heroin di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas penahanan dua lelaki bersama 145 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.18 juta di sebuah unit kondominium di Bandar Baru Seri Petaling pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 25 dan 21 tahun itu dipercayai penjaga unit kondominium berkenaan yang dijadikan stor penyimpanan dadah sejak disewa enam bulan lepas.

“Kedua-dua suspek ditahan di hadapan lif kondominium dalam serbuan pada 3.30 petang dan pemeriksaan ke atas mereka telah menemukan bungkusan warna keemasan bertulis ‘daguanyin’ disyaki berisi syabu dan plastik lutsinar disyaki heroin.

“Pasukan serbuan kemudian membuat pemeriksaan ke sebuah unit kondominium berkenaan dan menjumpai 115 bungkusan warna biru dan keemasan disyaki mengandungi syabu dan 40 bungkusan plastik lutsinar disyaki berisi heroin,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Kok Chin berkata jumlah anggaran berat dadah yang dirampas adalah masing-masing 124kg syabu dan 21kg heroin yang boleh digunakan oleh 728,000 penagih dadah.

“Suspek pertama berusia 25 tahun dipercayai memperoleh upah RM5,000 sebulan sebagai penjaga stor manakala suspek kedua yang juga pembantu menerima upah harian daripada suspek pertama.

"Pasukan serbuan turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang disewa oleh suspek bagi tujuan penghantaran dadah kepada pembeli," katanya.

Menurut Kok Chin, modus operandi sindiket berkenaan ialah menyewa unit kondominium sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli.

“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, serta didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lepas hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan