LELAKI MENGAKU PEGUAM SAH BERDEPAN TIGA PERTUDUHAN MENIPU

28/10/2024 02:56 PM

SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu dua individu dengan menyatakan dirinya sebagai peguam bela dan peguam cara yang sah dalam kejadian yang berlaku antara 2021 dan 2022.

Muhammad Syafiq Stewart Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya dua lelaki dengan menyatakan bahawa dirinya ialah peguam yang sah. 

Pertuduhan pertama dan ketiga berkaitan mangsa yang sama dan berlaku pada 18 Nov 2021 manakala pertuduhan kedua melibatkan seorang lagi mangsa pada 2 Mac 2022. Kesemua kesalahan itu dilakukan di Kompleks Mahkamah Seremban di sini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Kamarul memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Zahid Abu Hashim yang mewakili tertuduh merayu jaminan direndahkan dengan alasan anak guamnya kini tidak mempunyai kerja tetap sejak tahun lepas dan hanya bekerja sebagai penceramah bebas dengan pendapatan rendah.

Beliau berkata Muhammad Syafiq Stewart juga perlu menyara isteri dan dua anak yang masih kecil selain menghidap penyakit darah tinggi.

Hakim memutuskan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 9 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan