ISMAIL SABRI TARIK BALIK SAMAN TERHADAP AGENDA DAILY

28/10/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menarik balik saman yang difailkannya terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise, berhubung penerbitan sebuah artikel didakwa berunsur fitnah yang diterbitkan dua tahun lepas.

Peguam K.Ragunath yang mewakili Ismail Sabri sebagai plaintif, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman bahawa, anak guamnya bersetuju untuk menarik balik saman tersebut tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman tersebut.

Sementara itu, peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili defendan Muhamad Izwan Mohd Zubit mengesahkan perkara itu.

Hakim Aliza kemudiannya membatalkan kes saman itu dan menghargai usaha kedua-dua pihak mencapai penyelesaian.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana telah mencapai penyelesaian ini. Tarikh perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan,” katanya.

Selepas prosiding, Ismail Sabri dan Muhamad Izwan yang berada di galeri awam mahkamah dilihat bersalaman.

Ismail Sabri ketika ditemui pemberita berkata kes saman itu tidak perlu diteruskan, kerana isu yang ditimbulkan mengenai perdana menteri dan pilihan raya telah menjadi akademik.

“Pilihan raya sudah selesai, saya pun tak jadi perdana menteri, kalau teruskan juga saman ini akan merugikan masa mahkamah kerana semua keputusan itu telah menjadi akademik, sebab itu saya tarik balik saman,” jelasnya.

Ismail Sabri telah memfailkan saman itu pada Februari 2022 atas kapasiti peribadinya, mendakwa artikel yang diterbitkan oleh Agenda Daily Media pada 30 Jan 2022 mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar terhadap dirinya.

Ahli Parlimen Bera itu mendakwa artikel berkenaan antaranya menggambarkan dirinya terdesak untuk mengekalkan jawatan perdana menteri dengan apa cara sekalipun, termasuk merayu kepada parti-parti politik agar tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempoh perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat dalam sejarah negara.

Sementara itu, Muhamad Izwan dalam pernyataan pembelaannya menegaskan bahawa artikel tersebut disiarkan dengan tanggungjawab kewartawanan dan menafikan sebarang unsur fitnah atau berniat jahat terhadap plaintif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan