TIGA WARGA CHINA SELUK SAKU DI KLIA DIPENJARA TIGA BULAN

30/10/2024 01:33 PM

SEPANG, 30 Okt (Bernama) -- Tiga lelaki warga China dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dengan cara menyeluk saku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, minggu lepas.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman itu terhadap Zhou Jiang, Huang Yang serta Hu Hairong dan memerintahkan ketiga-tiganya yang berusia 50-an menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan 25 Okt.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, ketiga-tiga tertuduh juga diperintah membayar pampasan RM7,622 kepada mangsa, dan sekiranya gagal akan dikenakan penjara tambahan tiga bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur 'Ain Madihah Zulkifli dan kesemua warga China itu diwakili peguam Eryanie Abdul Rahim.

Menurut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh didapati melakukan jenayah seluk saku beg milik seorang warga Jepun di KLIA Terminal 1 pada lebih kurang 6 petang, 21 Okt lepas.

Sementara itu, Zhou Jiang turut mengaku bersalah dengan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kad kredit yang dicuri bagi membeli 13 kotak rokok.

Bagi kesalahan berkenaan, dia dipenjara tiga bulan serta diperintah membayar pampasan RM215.90, yang sekiranya gagal akan dikenakan tambahan sebulan penjara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan