LEBIH 2,000 SAMAN DIKELUARKAN DALAM OP KHAS KENDERAAN PERDAGANGAN DI PERLIS

30/10/2024 05:25 PM

ARAU, 30 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengeluarkan 2,130 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 25,997 kenderaan perdagangan dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan di negeri ini bermula 1 Okt hingga Isnin lepas.

Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah berkata antara kesalahan dikesan ialah cukai jalan tamat tempoh serta kesalahan teknikal seperti tayar haus, lampu brek tidak berfungsi dan cermin gelap.

"Sebanyak 77 lori ditimbang dengan 56 kes lebih muatan dicatatkan manakala 64 pemandu turut diambil saringan air kencing dengan seorang pemandu lori positif dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata 103 pemilik lori turut didenda oleh Mahkamah Majistret Kangar kerana kesalahan membawa muatan secara berlebihan dari 2022 hingga bulan ini melibatkan denda terkumpul RM751,500.

"Kesemua pemilik lori itu didakwa mengikut Seksyen 57 (1)(b)(vii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya.

Fatimah berkata 16 van Thailand dan pemandu masing-masing ditahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan bulan ini dengan jumlah saman tertunggak direkodkan bernilai RM31,600.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan