PENIAGA WANITA RUGI HAMPIR RM500,000 DIPERDAYA SINDIKET PENIPUAN

30/10/2024 06:53 PM

KUANTAN, 30 Okt (Bernama) -- Seorang peniaga wanita mengalami kerugian hampir RM500,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai sebuah kementerian dan pegawai polis. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 51 tahun itu diperdaya kononnya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram. 

Beliau berkata pada April lepas, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah kementerian dan mendakwa mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

Mangsa kemudian dirujuk kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memintanya untuk membuat pemindahan wang bagi mengelakkan dia ditangkap serta membersihkan rekodnya daripada kes jenayah. 

“Dalam tempoh 1 Mei hingga 27 Sept, mangsa telah membuat pemindahan wang ke lima akaun berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM492,290.

“Mangsa menyedari ditipu apabila suspek tidak mengembalikan semula wangnya dan sumber kewangan adalah duit simpanan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pinjaman daripada rakan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Yahaya meminta orang ramai supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang mencurigakan di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan