LELAKI DENGAN 35 REKOD JENAYAH DITAHAN KES PECAH RUMAH, CURI

01/11/2024 08:50 AM

SEREMBAN, 1 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dengan 35 rekod jenayah dan dadah di parkir sebuah pasar raya di Bahau, Jempol dekat sini selepas dipercayai terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah itu, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat seorang wanita berusia 56 tahun selepas rumahnya di Taman Acbe dipecah masuk pada 21 Okt lepas.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu memanjat tembok pagar dan masuk ke rumah mangsa dengan cara membuka skru pada bahagian tingkap dapur kira-kira 5.30 pagi. Beberapa barang peribadi mangsa turut hilang dan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,500.

“Dia mengaku melakukan pecah rumah dan curi seorang diri. Modus operandi adalah memasuki mana-mana rumah yang tidak berpenghuni atau ditinggalkan sementara waktu dengan masa untuk melakukan kegiatan tersebut sekitar 3 hingga 6 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan awal mendapati lelaki itu positif dadah jenis metamfetamina dan mempunyai pelbagai rekod lampau termasuk orang dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15 (4) Akta Pencegahan Jenayah 1959. 

Hoo berkata suspek direman tujuh hari hingga 6 Nov ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan