IKRAR UDANG SEJUK BEKU TAPI BAWA ROKOK, ARAK SELUDUP

01/11/2024 06:08 PM

KUCHING, 1 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras yang diikrar sebagai produk udang sejuk beku setelah melakukan pintasan di Jalan Kuching-Samarahan Expressway pada 22 Okt. 

Pengarahnya Norizan Yahya berkata pihaknya menyita lori 10 tan dengan muatan 3.4 juta batang rokok pelbagai jenama disyaki dari negara jiran dan minuman keras sejumlah 2,376 liter disyaki tidak berkastam dengan anggaran duti dan cukai bernilai RM3.15 juta.

“Pada 22 Okt lepas lebih kurang 2 petang, semasa menjalankan rondaan pesisir air di sekitar Bandaraya Kuching, Sarawak sepasukan anggota dari Unit Marin Kuching telah mengesan sebuah lori (bonded truck) yang mencurigakan disyaki membawa barang tidak berkastam. 

“Pasukan telah bertindak mengekori lori kargo itu dan berjaya membuat pintasan di Jalan Kuching - Samarahan Expressway,” katanya dalam sidang media di Stor Bahagian Penguatkuasaan Kuching JKDM di sini hari ini.

Seorang warga tempatan berusia 40-an yang juga pemandu lori berkenaan turut ditahan bagi siasatan lanjut. 

Norizan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan