PUSAT HIBURAN TANPA LESEN DISERBU, 27 GRO DITAHAN

02/11/2024 10:27 AM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Polis menahan 27 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan Op Noda #KLStrike Force di sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Jalan Pasar Baharu Pudi, di sini, petang semalam.

Pada serbuan 5.40 petang itu, kesemua wanita terdiri daripada 16 warga Vietnam dan 11 warga China sedang leka melayani pelanggan sebelum bertempiaran lari ke bahagian belakang pusat hiburan berkenaan dan ada cuba bersembunyi di bahagian bawah sinki dapur serta di ruangan simpanan sebuah gerai di pusat hiburan berkenaan.

Malah, polis mendapati terdapat pintu rahsia di dalam tandas wanita dipercayai menjadi laluan bagi wanita warga asing berkenaan melarikan diri sekiranya premis diserbu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata dua lelaki terdiri daripada warga tempatan dan Indonesia turut ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu.

"Premis ini beroperasi secara bersembunyi dan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menutup pintu hadapan premis dan hanya membuka pintu belakang sahaja kepada pelanggan tetap, muslihat itu bagaimanapun berjaya dihidu polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rusdi berkata pihaknya turut memeriksa 53 individu tempatan melibatkan 47 lelaki dan enam wanita berusia 34 hingga 44 tahun yang dipercayai pelanggan di premis berkenaan.

“Polis turut merampas kipas tangan pelbagai warna dan corak selain selempang yang dijual dengan harga RM10 hingga RM150 sebagai bayaran tips kepada GRO berkenaan,”  katanya.

Menurut Rusdi, semua yang ditahan berusia 24 hingga 67 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi urusan dokumentasi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 39(b) dan Seksyen 6(1)(c)  Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan