JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Majlis Media Malaysia Perlu Ditubuhkan Segera - Kesatuan Media

02/11/2024 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) sebagai badan kawal selia yang bebas dan melibatkan pelbagai pihak industri perlu dilaksanakan segera tanpa berlengah lagi.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan Gerakan Media Merdeka Malaysia (GERAMM) dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan bahawa MMC perlu diberi mandat kuasa bagi melindungi pengamal media secara undang-undang, fizikal, ekonomi serta sosial.

“Mengiktiraf kepentingan media dan mengekalkan kedudukan mereka dalam masyarakat kita mestilah dipegang pada tahap tertinggi dalam semua institusi di Malaysia,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sempena dengan sambutan International Day to End Impunity for Crimes Against Journalists (IDEI) 2024.

Kenyataan itu memaklumkan bersempena IDEI, Festival Solidariti Media anjuran CIJ, GERAMM, Kedutaan Belanda dan Pasukan Negara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan diadakan pada 16 Nov ini untuk memberi pencerahan terhadap isu berkaitan.

“Semua acara termasuk persembahan, bazar, audio siar langsung, sesi pembicara dan pameran akan menampilkan sepenuhnya wartawan serta bekas wartawan bagi menyokong perniagaan mereka selain mengetengahkan cabaran ekonomi dan kesukaran yang dihadapi wartawan dalam menjalankan tugas.

“IDEI dan Festival Solidariti Media adalah panggilan mendesak kepada pembuat dasar dan ketua syarikat media, pengabaian hak pekerja wartawan serta gangguan terhadap ejen demokrasi yang menjalankan tugas mereka dan ancaman terhadap landskap media kita tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan