JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Malaysia-Bahrain Kongsi Pengalaman Pengurusan Pengairan Dan Teknologi Pertanian

04/11/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia telah berkongsi pengalaman dengan Bahrain mengenai pengurusan pengairan dan saliran serta berharap dapat bekerjasama dengan negara itu berkaitan teknologi penggunaan air kitar semula yang mampu menjimatkan kos pengeluaran pertanian.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua perkara itu disentuh dalam pertemuan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Duta Besar Bahrain ke Malaysia Dr Waleed Khalifa Almanea yang membuat kunjungan hormat kepada beliau di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini 28 Okt lepas.

"KPKM mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan institusi penyelidikan di Bahrain sebagai inisiatif memperkukuh keterjaminan makanan.

"Selain itu, Malaysia berkongsi sasaran untuk meningkatkan pengeluaran sektor akuakultur daripada 40 peratus kepada 60 peratus dan berhasrat mempelajari teknologi serta kepakaran Bahrain yang berjaya menjalankan aktiviti akuakultur di laut secara meluas," mengikut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan kerjasama antara kedua-dua negara itu boleh diterokai bagi meningkatkan aktiviti akuakultur tempatan di perairan Malaysia.

Mohamad dan Waleed Khalifa turut membincangkan potensi kerjasama dua hala dengan memfokuskan usaha bagi meningkatkan akses pasaran produk Malaysia ke Bahrain serta menerokai pasaran di negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), kata kenyataan itu.

Sementara itu, kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup telah menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Kementerian Industri Utama (MPI) New Zealand Ray Smith di Menara LPP.

KPKM berkata dalam pertemuan 29 Okt lepas, kedua-dua pemimpin berbincang tindakan susulan khususnya kerjasama perdagangan pertanian serta keterjaminan makanan yang dibangkitkan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon semasa lawatan rasminya ke Malaysia September lepas.

"Antara tindakan berkenaan adalah berkaitan usaha memuktamadkan tatacara pengeksportan nanas ke New Zealand selain turut membincangkan usaha bagi meningkatkan akses pasaran produk Malaysia ke New Zealand seperti sarang burung, makanan haiwan serta durian segar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan KPKM itu turut memaklumkan Arthur mengalu-alukan cadangan kerjasama teknikal dalam bidang R&D antara MARDI dengan institusi penyelidikan di New Zealand.

Sebagai rekod, New Zealand merupakan salah satu rakan dagang aktif Malaysia dengan jumlah perdagangan pertanian antara kedua-dua negara mencecah RM5 bilion pada tahun lepas.

Hubungan kedua-dua negara dalam sektor pertanian turut terjalin melalui kerjasama dua hala dan serantau seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA), Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia New Zealand (AANZFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan