PELANGGAN MAUT LORI REMPUH WARUNG

04/11/2024 10:07 PM

KUANTAN, 4 Nov (Bernama) --Seorang pekerja bengkel besi yang sedang makan di sebuah warung maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah lori merempuh warung tersebut di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian pada 3.40 petang itu, mangsa, Affendi Abd Wahab, 51, dari Taman Guru di sini, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Beliau berkata seorang lagi lelaki berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian sendi bahu, punggung dan tangan dan kini sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Pakar KPJ Pahang di Tanjung Lumpur di sini.

“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu datang dari arah Kampung Pandan menghala ke Gambang. Tiba-tiba, lori tersebut hilang kawalan dan terbabas melanggar warung yang terletak di bahu jalan serta dua pelanggan yang berada di dalam warung tersebut.

“Hasil siasatan awal juga menunjukkan kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang hilang kawalan. Pemandu lori itu mengalami pendarahan dalam kepala dan cedera di tangan dan kini sedang dirawat di HTAA,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Wan Mohd Zahari berkata sampel darah dan air kencing pemandu lori itu akan diambil untuk tujuan ujian toksikolog dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan