ANAK MUDA SANGGUP RENTAS SEMPADAN, GUNA LALUAN TIDAK SAH UNTUK BERHIBUR DI THAILAND

04/11/2024 10:09 PM

KOTA BHARU, 4 Nov (Bernama) -- Polis mengakui ramai penduduk di Kelantan termasuk anak muda dalam usia belasan tahun sanggup mengambil risiko merentas sempadan dan menggunakan laluan tidak sah bagi memasuki Thailand semata-mata untuk berhibur pada hujung minggu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mereka biasanya bertindak memarkir kenderaan di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke Thailand berbanding menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

"Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh rakan sejawat saya di Thailand yang memaklumkan kunjungan rakyat Malaysia dalam kalangan anak muda begitu ramai terutama pada hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu  untuk ke kelab malam sehingga terpaksa menunggu syif untuk masuk ke pusat hiburan itu.

"Kebanyakan mereka akan ke Thailand pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada Sabtu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata isu berhubung kunjungan anak muda dari Kelantan ke kelab malam di Golok itu juga baru dibincangkan bersama Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Mohd Yusoff Mamat juga berkata bagi menyekat sepenuhnya perbuatan itu, pihaknya hanya memiliki kuasa yang terbatas.

"Jika undang-undang di negara kita, warga asing yang masuk secara haram kita akan tangkap di bawah Akta Imigresen," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan