JIM SELAMATKAN ENAM LELAKI BANGLADESH MANGSA PEMERDAGANAN MANUSIA

05/11/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menyelamatkan enam lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi di sebuah rumah kedai di Klang Sentral petang semalam.

JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam serbuan pada 3.54 petang itu, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya turut menahan seorang lelaki Bangladesh berusia 30 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.

“Semasa serbuan dilakukan, lelaki berkenaan cuba melarikan diri melalui tingkap di sebuah bilik di rumah itu menyebabkan berlaku sedikit pergelutan dengan anggota JIM. Bagaimanapun, cubaan itu tidak berjaya.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor," menurut kenyataan itu.

Siasatan mendapati mangsa dibawa masuk sebagai pelancong dengan dikenakan bayaran RM15,000 seorang dan segala urusan pasport, visa serta tiket penerbangan mereka diuruskan oleh sindiket. 

Menurut JIM, mangsa kemudian ditempatkan di rumah kedai itu yang dijadikan rumah transit dan mereka yang ingin keluar dari premis berkenaan perlu membayar sebanyak RM5,000 seorang.

Susulan penahanan itu, tujuh pasport Bangladesh serta tujuh telefon bimbit dirampas dan mangsa yang berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun dibawa ke rumah perlindungan di Tanjung Kling, Melaka untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan