POLIS RAMPAS DADAH RM2.3 JUTA , TAHAN DUA WANITA WARGA INDONESIA, TIGA LELAKI TEMPATAN

05/11/2024 12:39 PM

MELAKA, 5 Nov (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia selepas menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.3 juta dalam serbuan di dua lokasi sekitar sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,400 dipercayai hasil jualan dadah, dan menyita dua kenderaan dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi di sebuah kondominium di Melaka Raya, dan sebuah bangunan di Jalan Merdeka di sini.

Beliau berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 37 tahun itu dipercayai aktif dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Melaka sejak awal tahun ini.

“Dalam serbuan itu polis merampas 12,920 gram serbuk dipercayai ekstasi, ketamin (300 gram), pil ekstasi (1,307 biji) dan pil erimin 5 (280 biji), dan berdasarkan siasatan awal, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan, boleh digunakan 68,240 penagih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing ke atas suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis ketamin dan benzo, namun kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Zainol berkata semua suspek direman sehingga 7 Nov ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan