TIMBALAN PENGERUSI MASJID PULA DIREMAN KEMUKA NAMA PENERIMA ZAKAT TIDAK LAYAK

06/11/2024 12:56 PM

CHUKAI, 6 Nov (Bernama) -- Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes mengemukakan senarai nama penerima zakat tidak layak kepada sebuah badan kebajikan swasta April lepas, direman enam hari.

Menurut sumber, perintah reman terhadap lelaki berusia 50-an yang juga timbalan pengerusi masjid itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret Kemaman di sini hari ini.

Suspek ditahan pada 12.30 tengah hari semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kemaman. 

“Suspek ditahan atas kesalahan mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang palsu kepada sebuah badan kebajikan daripada syarikat swasta di Kerteh untuk melayakkan isterinya menerima zakat wakalah sumbangan syarikat berkenaan.

“Perintah reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Reman enam hari dibenarkan mahkamah terhadap suspek yang akan ditahan di Lokap Balai Polis Chukai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” menurut sumber itu.

Semalam, pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid dilaporkan tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membuat beberapa tangkapan susulan bagi membantu siasatan ekoran penahanan pengerusi masjid yang sama atas kesalahan serupa.

Pengerusi masjid yang juga pekerja di syarikat swasta itu ditahan SPRM Isnin lepas kerana disyaki mengemukakan senarai asnaf termasuk individu tidak layak menerima agihan zakat berkenaan iaitu isterinya yang menerima RM1,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan