JOHOR BAHRU, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 75 pendatang asing dalam operasi selama dua hari di daerah ini dan Iskandar Puteri yang berakhir semalam.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata dalam operasi di 28 medan selera dan restoran di Pasir Gudang serta Desa Cemerlang, sebanyak 68 pendatang asing ditahan.
“Mereka terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar, 19 lelaki dan 26 wanita Indonesia, tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki India dan seorang lelaki Nepal masing-masing berumur 18 hingga 58 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan maklumat awam dan 13 notis hadir ke pejabat Imigresen turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
Mohd Rusdi berkata dalam serbuan di Iskandar Puteri petang semalam, tujuh pendatang asing termasuk seorang wanita ditahan hasil pemeriksaan terhadap 76 warga asing dan tempatan di 10 premis.
“Operasi itu dijalankan bersama-sama pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Polis Diraja Malaysia. Tujuh yang ditahan berusia 21 hingga 45 tahun terdiri daripada lima lelaki warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki serta wanita Indonesia," katanya.
Beliau berkata tiga notis hadir ke pejabat Imigresen turut dikeluarkan manakala kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial