JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Gardenia Kl Tampil Normalisasi Perbualan Kesihatan Mental Melalui Kempen ‘wellness Begins At Home’

07/11/2024 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Hanya 10.7 peratus daripada 1,020 orang awam yang ditinjau mendedahkan mereka mendapatkan bantuan profesional ketika berdepan cabaran emosi, menurut dapatan kempen ‘Wellness Begins at Home’ anjuran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL).

Dapatan itu diperoleh menerusi Edisi Kedua (2023) kempen berkenaan, yang mendapati sebahagian besar responden lebih cenderung mengambil pendekatan pasif apabila berdepan masalah.

Gardenia KL dalam kenyataan memaklumkan bahawa antara reaksi popular dalam tinjauan itu ialah mengharapkan cabaran berkenaan akan berlalu dengan sendiri (49.4 peratus), menyerahkan segalanya kepada Tuhan (43.5 peratus), dan mengelakkan diri daripada memikirkan masalah (40.5 peratus).

“Jawapan yang diterima menunjukkan pilihan umum untuk menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dalam kalangan responden. Tinjauan ini juga mendapati hanya 10.7 peratus daripada keseluruhan responden mendapatkan bantuan profesional,” katanya.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL Hazlinah Harun dalam kenyataan sama berkata kempen berkenaan diperkenalkan bagi mewujudkan ruang dan suasana yang selamat untuk menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan mental.

“Masyarakat kini lebih sedar tentang kepentingan kesihatan mental berbanding dahulu. Kami percaya sudah tiba masanya untuk memperkasakan orang ramai agar menerapkan amalan yang dapat memperbaiki kesejahteraan mental, termasuk mendapatkan bantuan kaunseling, sama seperti mereka akan berjumpa doktor apabila berasa kurang sihat,” katanya. 

Kempen ‘Wellness Begins at Home’, yang bermula pada 2021, melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk media Soscili serta sokongan tokoh awam. Edisi pertama pada 2021 memfokuskan kepada impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap kesejahteraan mental masyarakat.

Antara tinjauan yang menarik perhatian ialah 70 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka masih merasai kesan kepada kesihatan mental mereka walaupun selepas syarat PKP dilonggarkan.

Dalam tinjauan sama, hasil turut mendapati bahawa responden belajar beberapa kemahiran seperti memasak (35.5 peratus), mengemas rumah (23.7 peratus), pengurusan masa (16.1 peratus) dan kemahiran perniagaan (7.2 peratus).

Edisi 2024 menyaksikan pendekatan yang lebih inklusif kepada golongan muda melalui sesi wawancara jalanan bersama pelakon Mia Sara Nasuha.

Video yang dihasilkan daripada wawancara ini berkongsi pengalaman individu berbeza dalam menghadapi tekanan hidup, disertai panduan praktikal oleh kaunselor TELOS Mental Wellness.

Video ini boleh ditonton menerusi platform Instagram dan Facebook Gardenia KL.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan