JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Renjatan Elektrik: Syarikat Bas Gagal Audit ICOP

07/11/2024 03:01 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Syarikat bas eskpres yang terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Butterworth gagal dalam audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP). 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata permit operasi syarikat itu akan digantung susulan keputusan audit yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tersebut.

"Audit ICOP memang sudah buat, memang mereka (syarikat) gagal pun. JPJ akan rujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sebab untuk tindakan penggantungan adalah di bawah APAD.

"Jadi APAD akan keluarkan surat tindakan terhadap mereka untuk satu tempoh tapi dalam tempoh itu mereka boleh buat rayuan kepada pihak Pejabat Menteri," katanya kepada media selepas Majlis Cahaya Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini hari ini.

Loke turut menolak tuduhan tidak berasas kononnya beliau dan MOT menyalah guna kuasa dengan menggantung operasi bas terbabit serta-merta.

"Yang pertama dia tak buat kajian (homework), fakta tak betul, saya hanya mengatakan operasi bas tersebut digantung bukannya permit syarikat tersebut," katanya.

Pada 6 Nov lepas, Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong Yew Chuan dilaporkan berkata tindakan kerajaan menggantung serta-merta operasi bas itu merupakan keputusan tergesa-gesa tanpa memahami punca sebenar kejadian.

Loke berkata selepas insiden renjatan elektrik dalam bas pada 1 Nov lepas, MOT telah menubuhkan pasukan petugas khas dan mengarahkan APAD untuk segera menggantung operasi bas berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut oleh JPJ.

"Apa sahaja tindakan kita adalah berlandaskan peruntukan undang-undang dan proses, prosedur sedia ada akan dipatuhi sepenuhnya.

"Jadi tiada sesiapa menjadi mangsa, apa yang penting kita hendak jaga keselamatan orang ramai," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan