JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tiada Perjumpaan Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Di Genting Highlands - KP Kastam

07/11/2024 05:47 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan adanya perjumpaan antara Ketua Pengarah Kastam dan Pengarah-Pengarah Kastam bersama dengan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Genting  Highlands pada 6 hingga 8 Nov ini, seperti yang tular di media sosial semalam.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pada tarikh berkenaan, satu Persidangan Integriti JKDM Se-Malaysia 2024 anjuran Cawangan Integriti sedang berlangsung dan dihadiri oleh pengarah-pengarah serta warga JKDM di sebuah hotel di Genting Highlands.

Beliau berkata persidangan bertemakan ‘Integriti Aspirasi Kastam Bermaruah’ itu telah dirasmikan pagi tadi, bertujuan membudayakan amalan integriti dalam kalangan pegawai JKDM di seluruh negara serta memperkukuhkan nilai murni yang akan menjadi asas perkhidmatan telus dan berwibawa.

“Diharapkan dengan penjelasan ini, sebarang kekeliruan atau spekulasi yang tidak berasas dapat dihentikan serta-merta.

“JKDM menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu daripada sumber rasmi JKDM mengenai apa-apa maklumat yang diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Anis Rizana berkata persidangan selama tiga hari dianjurkan bagi memberi ruang kepada pegawai JKDM untuk membincangkan isu-isu semasa serta cabaran dalam memperkukuhkan integriti selaras dengan nilai Cekap, Tangkas dan Berintegriti (CTI) dalam menjalankan tanggungjawab.

"Inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik JKDM 2020-2024 di bawah Cawangan Integriti. Sejak 2017, Persidangan Integriti JKDM Se-Malaysia telah menjadi acara tahunan JKDM yang diadakan bersempena Hari Integriti Nasional," katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, Persidangan Integriti JKDM Se-Malaysia 2024 turut menampilkan agenda utama iaitu Ikrar Bebas Rasuah (IBR), yang disaksikan oleh wakil daripada SPRM sebagai komitmen JKDM dalam memerangi rasuah. 

Anis Rizana berkata pengisian persidangan itu merangkumi forum dan pembentangan kertas kerja oleh ahli panel daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, JKDM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkenaan budaya integriti dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Sebagai Agensi Pemungut Hasil Negara, menyediakan fasilitasi perdagangan dan menguatkuasakan undang-undang, JKDM kekal komited untuk memastikan integriti menjadi teras dalam setiap aspek perkhidmatan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Beliau berkata warga JKDM akan terus diperkasa dalam menghadapi cabaran serta meningkatkan ketelusan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terjamin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan