JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Malaysia Kutuk Sekeras-kerasnya Kekejaman Israel di Lubnan - Fahmi

08/11/2024 04:54 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel di Lubnan termasuk serangan terhadap konvoi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang turut mencederakan anggota pengaman Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini. 

"Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel dan ini tidak boleh diterima.

"Kerajaan juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan (oleh Israel) terhadap Lubnan dan UNIFIL," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini. 

Beliau berkata sebarang tindakan yang perlu diambil susulan serangan itu akan diputuskan oleh Kementerian Pertahanan. 

Semalam, enam anggota pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida di Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan, atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Pasukan itu, yang terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat, baru sahaja tiba di Lubnan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila serangan berlaku. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan