JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MAIWP Santuni Komuniti Kampung Baru, Beri Manfaat Kepada 750 Penduduk

10/11/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini turun padang mendekati komuniti di Kampung Baru menerusi Program Santuni Komuniti MADANI peringkat kampung angkat yang memberi manfaat kepada 750 penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Naím Mokhtar berkata program ini adalah permulaan bagi pelbagai agensi di bawah pentadbirannya untuk terus komited dalam usaha turun padang, mendekati rakyat dengan berkesan tanpa mengira kaum dan agama.

“Sebagai anak jati Kampung Baru, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu keperluan warga kampung dalam pelbagai aspek terutamanya dalam bidang yang berkait rapat dengan tugas saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Saya juga telah menyampaikan sumbangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM49,955 kepada golongan asnaf dan penduduk sekitar Kampung Baru,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup program berkenaan di sini.

Program Santuni Komuniti MADANI Peringkat Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah anjuran bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), TV Al-Hijrah dan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR).

Mohd Na’im berkata program berkenaan adalah wadah pihak kerajaan bersama agensi mendekati dan menyantuni masyarakat khususnya bagi mereka yang memerlukan.

“Saya bersama semua agensi agama di bawah pentadbiran akan terus mengetengahkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat dan wakaf agar dapat terus membantu memperkasakan tahap sosioekonomi warga Kampung Baru. 

“Kita juga mahu mendengar dan menyelesaikan isu dihadapi oleh penduduk sama ada dari segi sosial, pendidikan, mahupun kebajikan di sini,” katanya. 

Menurut Mohd Na’im, program bertepatan dengan satu daripada enam nilai teras Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu mengasihi masyarakat secara keseluruhannya adalah teras kepada sebuah visi Malaysia yang ihsan.

Program itu juga berasaskan Teras Pelan Transformasi Al-Falah yang menekankan kepada kesejahteraan insan melalui kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, serta pengukuhan perpaduan ummah, katanya.

Sembilan aktiviti dijalankan sepanjang penganjuran program antaranya Kayuhan Prihatin Wakaf, Santuni Asnaf, Program Keceriaan Sekolah, Program Walkabout dan edaran sarapan percuma kepada pengunjung, Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk, Gunting Rambut Percuma dan Pemeriksaan Kesihatan. 

Penganjuran program itu merupakan susulan daripada Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI yang  dirasmikan Mohd Na’im pada 27 Julai lepas di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan